STOP GLOBAL WARMING: World leaders signed the strategic plan of global warming effects

Saturday, January 1, 2011

World leaders signed the strategic plan of global warming effects

DALAM senarai agenda dan keutamaan kebanyakan pemimpin dunia pada 2007, isu perubahan iklim dan peningkatan suhu bumi adalah antara yang terpenting. Demikian menurut Daniel Franklin, pengarang The World in 2007, terbitan khas tahunan majalah tersohor The Economist. Isu itu memerlukan strategi dan perancangan baru, bukan saja dalam sektor tenaga dan sumber air, bahkan dalam seluruh dimensi kehidupan yang semakin berisiko dan terancam.
Dalam kenyataan akhbar di Paris pada 2 Februari lalu, kumpulan kerja Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang dianggotai lebih 600 penulis daripada 40 negara mengumumkan penerbitan jilid pertama laporan khusus untuk pembuat dasar, berjudul Climate Change 2007.

Jilid pertama itu merangkumi asas sains mengenai faktor penyebab perubahan iklim, bukti perubahan iklim yang dikesan, kaedah saintifik yang digunakan untuk menilai kepelbagaian faktor penyebab dan ramalan perubahan iklim masa depan.

Laporan itu menyebut kandungan gas rumah kaca terutama karbon dioksida, metana dan oksida nitrus meningkat dengan ketara disebabkan pelbagai aktiviti manusia sejak 1,750. Kandungan itu 30 kali lebih tinggi berbanding era sebelum Revolusi Industri, berdasarkan rekod atmosfera selama 650,000 tahun.

Peningkatan karbon dioksida disebabkan penggunaan bahan api fosil dan perubahan guna tanah khususnya pemusnahan hutan, sementara metana dan oksida nitrus berpunca daripada kaedah pertanian yang tidak lestari.

Menurut laporan NASA, pencairan ais di kutub ketika ini berada pada paras sembilan peratus, setiap dekad. Ketebalan ais di kutub Artik berkurangan 40 peratus sejak 1960-an. Laporan IPCC juga menyebut bahawa kejadian taufan Kategori 4 dan 5 meningkat sekali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu. Sementara itu, banjir besar yang biasa diramalkan berlaku setiap 100 tahun akan menjadi lebih kerap berlaku antara 10 hingga 20 tahun, termasuk di kawasan yang tidak termasuk dalam senarai berisiko banjir.

Ramalan IPCC itu menunjukkan trend peningkatan suhu bumi dan kesan ketidaktentuan cuaca ini dijangka terus meningkat. Sepanjang abad lalu, suhu permukaan bumi meningkat 0.6°C. Namun, banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa pada abad ini, suhu bumi akan meningkat 1.4 hingga 5.8°C. Peningkatan suhu ini dijangka memberi kesan kepada kehidupan manusia, termasuk kenaikan paras laut antara sembilan dan 88 sentimeter (CM) yang membahayakan kawasan pantai dan pulau kecil.

Apakah langkah yang perlu dilakukan dalam keadaan sekarang? Pada hemat saya, kita perlu melakukan tiga langkah strategik dengan segera.

Pertama: Pendidikan alam sekitar yang lebih komprehensif. Sehubungan itu, saya mengalu-alukan langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengadakan seminar perubahan cuaca di Kuala Lumpur, Mei ini. Langkah itu memang perlu kerana masih ramai di negara ini belum memahami isu perubahan iklim, termasuk pembuat dasar dan profesional.

Barangkali itulah juga sebabnya isu perubahan iklim tidak langsung menjadi premis dan kebimbangan dalam penggubalan strategi pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Bajet 2007.

Sebagai contoh, dalam laporan RMK-9 frasa ‘perubahan iklim’ hanya tersudut dalam bab 22 pasal 19 mengenai ‘inisiatif lain’ pada halaman 485. Itupun hanya menjelaskan mengenai pembabitan Malaysia dalam IPCC. Sementara mekanisme pembangunan bersih atau CDM, iaitu satu daripada kaedah pengurangan pelepasan gas karbon ke atmosfera diungkapkan dalam para akhir sektor tenaga, dalam bab ke 19, pasal 46 pada halaman 430.

Membaca dokumen rasmi mengenai perancangan pembangunan sejak beberapa tahun lalu sebenarnya menakutkan saya, kerana isu perubahan iklim masih jauh tersudut, hanya sebagai catatan tambahan di muka ratusan keempat!

Namun, saya bersyukur kerana banjir di Johor bulan lalu membuka mata banyak pihak untuk lebih sedar bahawa isu perubahan iklim bukan retorik profesor dan pencinta alam sekitar. Isu itu menjadi satu daripada agenda terpenting ketika ini, termasuk di kalangan tokoh korporat ulung dan pemimpin negara maju.

Kedua: Saya mencadangkan agar perancangan sektor utama yang berkait langsung dengan perubahan iklim seperti tenaga, pengangkutan, pertanian, perindustrian dan pemuliharaan alam sekitar dikaji semula dari perspektif lebih proaktif untuk mengurangkan pelepasan gas karbon.

Dari satu segi, sebagai negara membangun, kita boleh mendapatkan biaya secara percuma menerusi mekanisme CDM. Saya juga berpendapat bahawa:

– Hubung kait yang tidak jelas antara sektor tenaga dan dasar berkaitan iklim. Di satu pihak kita membekalkan biodiesel ke Eropah, tetapi kita tidak berusaha menggunakannya secara meluas.

– Sektor tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) perlu diberi lebih banyak insentif untuk berkembang.

– Pelepasan gas karbon dari sektor pengangkutan perlu dimulakan dengan strategi lebih terancang.

– Semua laporan dan dasar pembangunan perlu diolah semula dengan mengambil kira kesan perubahan iklim.

– Semua agensi perlu mempunyai sasaran khusus untuk menangani persoalan perubahan iklim.

Ketiga: Pelaksanaan projek besar pembangunan yang diluluskan perlu dikaji secara lebih holistik, khususnya membabitkan perubahan iklim dan kitaran cuaca seperti sumber air, pengairan, saliran, perhutanan, perikanan, pertanian dan pelancongan. Projek itu berisiko dan mungkin tidak mencapai sasarannya jika kitaran cuaca yang baru tidak diberi pertimbangan.

Sebagai contoh, apalah gunanya kita menggondolkan hutan untuk membina empangan jika akhirnya empangan itu tidak mampu menakung air untuk kegunaan pada musim kemarau. Itulah sebabnya – dalam ruangan ini berkali-kali saya sebutkan fakta bahawa banyak negara maju tidak lagi membina empangan di hulu, sebaliknya membuat takungan air di hilir sungai atau di muara seperti dilakukan menerusi projek Marina Barrage di Singapura.

Hasilnya, kos lebih murah, air sudah pasti mencukupi, pencemaran berkurangan kerana semua pihak bertanggungjawab untuk memulihara sumber air di hilir sungai dan kesan perubahan iklim dapat dikurangkan dengan pelestarian hutan.

INTI PATI

Seluruh dimensi kehidupan makin berisiko dan terancam dengan perubahan iklim dan peningkatan suhu bumi.
Banjir besar yang biasa diramalkan berlaku setiap 100 tahun lebih kerap berlaku antara 10 hingga 20 tahun.
Pendidikan lebih komprehensif, perancangan sektor utama yang berkait langsung dengan perubahan iklim perlu diberi penekanan untuk memulihara alam sekitar.
Berlawanan dengan agenda kebanyakan pemimpin dunia yang menjadikan isu perubahan iklim antara yang terpenting, pembuat dasar dan profesional di negara ini tidak banyak kesedaran contohnya dalam laporan RMK-9 frasa ‘perubahan iklim’ hanya tersudut dalam bab 22 pasal 19 mengenai ‘inisiatif lain’ pada halaman 485.

No comments:

Post a Comment

Pageviews last month